ISU SENSITIF HALAL HARAM

Isu Sensitif: Halal & Haram Insurans Hayat

Konvensyen Ejen Insurans Hayat Bumiputera 2009, Hotel Legend, KL.

Tajuk: Insurans Hayat Menurut Perspektif Islam

Penceramah : En Azman Ismail
                        Pengarah Urusan International Islamic Finance and Insurance

Tajuk yang diberikan kepada saya merupakan tajuk yang sangat sensitif tetapi penting. Ianya sensitif kerana melibatkan hukum dan penting kerana melibatkan beberapa juta umat Islam dan puluhan ribu wakil insurans dan takaful yang berugama lslam di Malaysia. Namun demikian, perkara yang sensitif kadangkala perlu dijelaskan bagi mengelak kekeliruan yang mengakibatkan kerugian orang ramai. Sehubungan dengan ini, kepentingan semua pihak, iaitu industri insurans, industri takaful, pihak consumer serta pihak berkuasa yang perlu mengimbangkan kepentingan kedua-dua industri, kepentingan consumer dan kepentingan ekonomi Negara perlu di ambil kira. Dari sudut syariah, para fuqaha kita telah meletakkan dasar-dasar didalam menentukan hukum sesuatu perkara. Antara lain, mereka telah meletakkan kaedah-kaedah fikah (qawaid fiqhiyyah) sesuai dengan tujuan-tujuan syariah (maqasid al-shariah). Dalam konteks perbincangan kita, kaedah-kaedah yang akan digunakan adalah seperti berikut :
  •  Menyeimbangkan antara pelbagai masalih atau manafi' atau perbandingan segala kebaikan 
  •  Menyeimbangkan antara pelbagai mafasid atau madhar atau perbandingan semua maksiat. 
  •  Menyeimbangkan antara pelbagai masalih dan mafasid atau perbandingan segala kebaikan dan sebaliknya, apabila di sana wujud konflik antara mereka.
Perbincangan mengenai insurans dikalangan ulama telah ujud sejak kurun 19 dimana seorang faqih ulung mazhab Hanafi yang dikenali sebagai lbn Abidin telah memberikan pandangan beliau tentang perkara ini. Perbincangan mengenai insurans memuncak pada kurun ke 20 di mana para ulama mempunyai tanggapan yang berbeza antara satu dengan yang lain. Pandangan-pandangan ini kemudiannya beku pada tahun tujuh puluhan dan pandangan pandangan yang terkemudian tidak lain dan tidak bukan merupakan ulangan kepada pandangan terdahulu. Pandangan ini lebih merujuk kepada insurans secara umum atau insurans hayat tradisional. Namun demikian, terdapat bentuk insurans yang belum dikenali sebelum ini. lnsurans tersebut ialah insurans berkait pelaburan (Investment Link product). Insurans berkait pelaburan hanya bermula lebih kurang setengah kurun yang lalu dan merupakan respons syarikat insurans terhadap keperluan oleh consumer yang semakin canggih dan bantahan terhadap insurans traditional yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai kurang telus dan kurang adil dalam konteks pulangan kewangan kepada pelanggan didalam era pelaburan yang memberikan pulangan yang tinggi. Namun begitu hujjah-hujjah yang digunakan oleh para ulama lebih bersifat umum dan mereka tidak banyak membicarakan pandangan lslam terhadap insurans berkait pelaburan secara khusus. Di Malaysia, insurans berkait pelaburan hanya diperkenalkan pada tahun 1997. Sebelum itu, pada tahun 1992, saya telah mencadangkan agar syarikat insurans yang ingin memasarkan insurans kepada orang lslam membangunkan produk mengikut kaedah insurans berkait pelaburan kerana ia lebih menepati garis panduan syariah.

2. Pandangan ulama terhadap insurans

Ulama berbeza pendapat tentang insurans, sesetengah ulama mengharamkannya sementara yang lain mengharuskannya. Untuk tujuan perbincangan kita, saya akan hanya membicarakan pandangan ulama yang mengharuskan insurans. Untuk mengetahui hujjah-huijah ulama yang mengharamkan insurans, sila lihat buku saya, "Takaful : Teori dan Praktis" yang diterbitkan pada tahun '1997 tetapi secara ringkasnya adalah seperti apa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan seperti berikut:
lnsurans nyawa sebagaimana yang dikendalikan oleh kebanyakkan syrikat insurans yang ada pada hari ini adalah haram dan sebagai suatu muamalah yang fasad kerana akadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip islam iaitu :
a) Mengandungi gharar (ketidaktentuan)
b) Mengandungi unsur judi
c) Mengandungi muamalah riba

Ulama yang mengharuskan insurans termasuklah Sheikh Mustafa Zarqa (Zarqa,1984), Sheikh Abdul Rahman lsa (Salabi), Dr. Muhammad Yusuf Musa (ibid) serta Dr Abdul Ghani al-Rajhi(ibid). Dr Monzer Kahf (Kahf), seorang pakar kewangan lslam moden, menggangap Sheikh Mustafa Zarqa, yang meninggal pada tahun 1999 tidak syak lagi merupakan seorang ulama yang sangat dihormati dizaman kita. Para ulama yang berpendapat bahawa insurans adalah harus menyatakan bahawa insurans merupakan kontrak moden dan tidak terdapat nas yang mengharamkannya (al-Rajhi). Menurut ulama, jika tidak terdapat nas terhadap sesuatu perkara yang bukan ibadat, maka ia adalah harus (Kamali). Mereka bersandarkan pandangan tersebut kepada satu kaedah fiqh yang menyatakan, 'Asal hukum sesuatu perkara adalah harus sehingga ada dalil yang mengharamkannya." kaedah tersebut berdasarkan kepada pemahaman mereka terhadap al-Quran dan as_Sunnah. Sheikh Yusuf al-Qaradawi menyatakan bahawa tiada yang haram kecuali yang dilarang oleh nas yang qat'i (pasti). Jika
nas tidak qat'i, seperti hadith yang lemah atau ia tidak qat'i dalam mengharamkannya, maka kaedah di atas boleh terpakai. lni berdasarkan kepada ayat-ayat al-Quran dan al-Hadith (Qaradawi). Antara lain Al-Quran menyatakan :-
  •  Dia-lah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak (menciptakan) langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit. Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. (2:29)
  •  Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah telah menundukkan(kepentingan)mu apa yang di langit dan apa yang di bumi menyempurnakan untukmu ni'mat-Nya lahir dan batin. Dan di antara manusia ada yang membantah tentang (keesaan) Allah tanpa ilmu pengetahuan atau petunjuk dan tanpa Kitab yang memberi penerangan. (31 :20) 
  •  Dan Dia telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang bertikir. (45:13)
Menurut para ulama, ini menunjukkan bahawa secara prinsipnya adalah harus menggunakan segala sumber alam ini, iaitu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya. Seterusnya, segala amalan yang perlu dilakukan untuk mencapai perkara tersebut, termasuk muamalat, adalah harus (Kamali). Untuk memperkuatkan hujjah ini, al_Quran menurunkan prinsip bahawa AIlah swt telah menjelaskan larang-larangannya (Qaradawi). Sehubungan dengan ini Allah swt menyatakan didalam al-Quran,

"Mengapa kamu tidak mau memakan (binatang-binatang yang halal) yang
disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal sesungguhnva Allah
telah menjelaskan kepada kamu apa yang diharamkan-Nya atasmu. kecuali
apa yang terpaksa kamu memakannya. Dan sesungguhnya kebanyakan (dari
manusia) benar benar hendak menyesatkan (orang lain) dengan hawa nafsu
mereka tanpa pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia-lah yang lebih
mengetahui orang-orang yang melampaui batas.' (6:119)

Sehubungan dengan ini Rasulullah saw bersabda, 'Apa yang Allah telah halalkan dalam kitabnya adalah halal dan apa yang diharamkannya adalah haram dan apa yang didiamkannya diharuskan sebagai anugerahNya. Jadi, terimalah daripada Allah anugerahNya kerana Allah tidak lupa sesuatu pun. Kemudian Baginda membaca"Dan Tuhanmu bukan pelupa"'(19:64).
Hadith ini diriwayatkan oleh al-Hakim yang mensahihkannya dan di petik oleh al_Bazzar.

Salman al Farsi meriwayatkan yang apabila Rasulullah saw ditanya tentang lemak binatang, keju, dan bulu, baginda menjawab, "Yang halal adalah apa yang Allah telah halalkan didalam kibatNya dan haram adalah apa yang Dia telah haramkan, dan berkenaan apa yang Dia diamkan Dia telah mengharuskannya sebagai satu anugerah untuk kamu." (Diriwayatkan oleh al Tirmidhi dan lbn Majah.)

Oleh itu, dari memberi jawapan yang khusus terhadap soalan yang ditanya, Rasulullah saw merujuk kepada kriteria umum untuk menentukan halal dan haram. Oleh sebab itu, adalah cukup bagi kita untuk mengetahui apa yang Allah haramkan, kerana apa yang tidak haram adalah halal (Qaradawi). Rasulullah saw juga bersabda, 'Allah telah menetapkan kewajipan-kewajipan tertentu untuk anda, maka jangan abaikannya, Dia telah menjelaskan batas-batas tertentu, maka jangan kamu melanggarnya, Dia telah melarang perkara-perkara tertentu, maka jangan kamu melakukannya; dan Dia telah diamkan perkara-perkara lain sebagai belas kasihan untuk anda dan tidak disebabkan oleh sifat pelupa, maka jangan tanya soalan-soalan berkenaan mereka. (Diriwayatkan oleh al-Darqutni dan diklasifikasikan sebagai hasan oleh al-Nawawi.)

Tambahan pula, alam ini dijelaskan sebagai perhiasan dari Allah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Quran:
"Katakanlah: 'Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezki yang baik?" Katakanlah: "Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat." Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui?' (7:32)

Maka sangkaan sahaja tidak cukup untuk mengharamkan sesuatu. Para ulama berpendapat bahawa sesuatu yang mengatasi prinsip ini, (iaitu asal hukum segala sesuatu adalah harus) hendaklah pasti dari segi thabitnya dan dalilnya. (Kamali) Mereka seterusnya mendakwa bahawa insurans merupakan satu aqad yang memberikan kebaikan kepada orang yang diinsuranskan atau insured (al-Rajhi). Tanpa insurans, waris simati akan menanggung beban yang besar selepas kematiannya. Mereka juga menyatakan adat kebiasaan ('uruf)
mengesahkan insurans sebagai sesuatu yang melindungi kepentingan umum dan individu (al-Rajhi) dan uruf diterima sebagai dalil syariah (t(amali) sesuai dengan kaedah fiqh, 'aadah muhakkamah (adat menjadi hukum). Menurut mereka, aqad insurans bukan aqad mu'awadhah (aqad pertukaran) tetapi termasuk dalam kategori tabarru' dan sebagai bantuan dan jaminan oleh penginsurans kepada insured. Sehubungan dengan ini, kedudukan penginsurans adalah sebagai orang tengah yang mengumpulkan dana daripada insured dan menyusun bantuan kepada mereka dalam menghadapi kerugian bersama (al-Raihi). Sesetengah ulama mendakwa premium yang dibayar oleh insured sebagai bayaran kepada jaminan (Salabi).

3. Huijah terhadap pandangan yang mengharamkan

Walaubagaimanapun, terdapat ulama yang mengharamkan insurans. Mereka mendakwa bahawa insurans merupakan aqad yang mengandungi unsur-unsur gharar, maisir dan riba. Apakah ini benar? lanya tidak benar seratus peratus. Apa yang mungkin benar adalah yang berkaitan dengan insurans hayat permanen tradisional seperi endowmen dan insurans seumur hidup tetapi untuk menyatakan demikian tentang insurans bertempoh dan insurans berkait pelaburan boleh dipertikaikan. Pertama isu gharar. Mereka mendakwa bahawa gharar wujud didalam aqad insurans kerana insurans merupakan aqad mu'awadhah. Teori gharar tidaklah semudah yang disangkakan. Malah para fuqaha sendiri berbeza pendapat tentang definasinya (Zuhayli) walaupun secara umumnya hampir sama. Menurut lmam lbn Taymiyah, gharar adalah sesuatu yang mana akibatnya tidak diketahui, sementara muridnya lmam lbn Al- Qayyim, mendefinasikannya sebagai sesuatu yang tidak dapat diserahkan, samada ia ujud atau tidak. lmam lbn Hazm manyatakan bahawa gharar ialah dimana pembeli tidak tahu apa yang dibeli dan penjual tidak tahu apa yang dijual. AI-Syarakhasi daripada mazhab Hanafi berpendapat gharar ialah barang yang tersembunyi dan tidak dikeathui akibatnya. AI-Qarafi daripada mazhab Maliki berpendapat asal gharar ialah barang yang tidak diketahui adakah boleh diperolehi atau tidak. Abu lshaq Al Shirazi daripada mazhab Shafi'i berpendapat gharar ialah perkara atau barang yang tidak diketahui dan tersembunyi akibatnya. Al-lsnawi daripada mazhab Shafi'i berpendapat gharar ialah rasa ragu-ragu di antara dua kemungkinan, dan kemungkinan yang lebih buruk lebih kerap berlaku. Dikalangan ulama moden, Sheikh Mustafa Zarqa (ibid), mentakrifkan gharar sebagai menjual sesuatu yang diragui tentang kewujudannya dan had-hadnya sementara Dr. Wahbah Al-Zuhaili menyimpulkan bahawa jual beli gharar ialah
jual beli yang akan menyebabkan kerugian atau bahaya ke atas penjual dan pembeli.

Selain daripada definasi-definasi di atas, para fuqaha juga membezakan di antara gharar yasir iaitu gharar yang sedikit dengan gharar fahish iaitu gharar yang keji. Malah ada juga yang membahagikannya kepada gharar mutawasit iaitu yang pertengahan di antara keduanya. Kebanyakan fuqaha, terutama daripada mazhab Hanafi dan Hambali berpendapat gharar yasir boleh diterima walaupun didalam aqad mu'awadah. lmam Al-Nawawi mengecualikan dua perkara daripada jual beli gharar. Pertama, sesuatu yang termasuk didalam barang jualan dan kedua sesuatu yang biasa diterimapakai samada kerana kecilnya atau kerana susah nak membezakannya dan menentukannya (ibid).

Persoalannya sekarang adalah samada 1) kontraks insurans konvensyenal boleh disamakan dengan kontrak mu'awadah? dan 2) ujudnya gharar, dan jika ia, jenis apakah jenis gharar tersebut? Kebanyakan fuqaha zaman moden berpendapat bahawa kontraks insurans konvensyenal boleh disamakan dengan kontrak mu'awadah memandangkan terdapat pertukaran antara premium dan wang polisi. Namun demikian, jika kita teliti, ia lebih dekat dengan kontrak jaminan atau apa yang disebut dalam bahasa Arab sebagai kontrak dhaman atau kafalah. Malah takaful merupakan kata terbitan daripada perkataan kafala dan bererti saling menjamin sementara dibawah kontrak kafalah satu pihak menjamin pihak yang lain. Jaminan boleh jadi untuk hutang, pinjaman atau kerja berjanji (Zuhayli). Sesungguhnya dalam amalan insurans konvensional, bon prestasi (performance bond) adalah dianggap sebagai satu daripada produk-produk bagi insurans. Para fuqaha bersetuju yang menjamin adalah sesuai dengan syariah; apa yang mereka pertikaikan adalah apabila jaminan itu dibuat dengan bayaran. Dalam sistem perbankan dan kewangan lslam di Malaysia, para ulama kita telah meluluskan kontrak kafalah dengan bayaran seperti dalam surat kredit (letter of kredit). Seterusnya mereka juga telah meluluskan jaminan untuk prestasi kerja iaitu bon prestasi.

Walaubagaimanapun, para fuqaha seperti Dr 'Ali Salus dan Dr Wahbah Al-Zuhaili telah membezakan bayaran untuk kerja-kerja perwakilan dan bayaran untuk jaminan. Sementara mereka membenarkan bayaran untuk kerja-kerja perwakilan, mereka melarang bayaran untuk jaminan (Zuhayli). Sehubungan dengan ini mereka konsisten iaitu mereka melarang insurans perdagangan serta jaminan yang dibuat dengan bayaran.

Berbalik kepada isu gharar, para fuqaha menyatakan gharar dalam insurans wujud kerana pampasan untuk insurans adalah disebabkan kepada acara (event) yang tidak menentu, yang menyumbang kepada gharar.

Walaubagaimanapun pengamal-pengamal insurans berhujjah bahawa jumlah yang dibayar dan diterima oleh kedua-dua pihak dijelaskan semasa aqad. Dalam insurans bertempoh, premium yang dibayar oleh insured diketahui. Jumlah yang diinsuranskan juga diketahui kerana dijelaskan didalam kontrak. Walaubagaimanapun, timbul isu samada insured akan menerima bayaran polisi. Dalam konteks ini, insured akan mendapatnya jika berlaku acara yang diinsuranskan dan jumlahnya dijelaskan. Pendek kata isu gharar dalam insurans bertempoh boleh dipertikaikan. Begitu juga dengan insurans berkait pelaburan, jumlah manfaat dijelaskan
dan premium yang dialokasikan (allocated premiums) merupakan jumlah yang dilaburkan dibawah konsep wakalah dan dana risiko dianggap sebagai tabarru' kerana jelas ia hangus. Sehubungan dengan ini kaedah fiqh menyatakan, 'Petunjuk dalam aqad-aqad bergantung kepada maksud dan makna dan bukan kepada lafaz dan susunan kata-kata.'

Satu lagi unsur yang didakwa menyebabkan insurans menjadi haram adalah kerana wujudnya unsur perjudian. Walaupun sesetengah ulama menyatakan bahawa ini merupakan salah satu unsur yang menyebabkan insurans menjadi haram, Nadwah Sedunia Ekonomi lslam Pertama yang diadakan di Makkah pada tahun 1976 tidak memasukkan judi sebagai salah satu daripada unsur yang menyebabkan insurans haram; Dr Wahbah al Zuhaili hanya menyebut bahawa kontrak insurans komersial tidak sah disebabkan kapada kepada dua perkara sahaja; riba dan gharar (Zuhayli). Beliau tidak sebut perjudian sebagi satu unsur yang menjadikan kontrak insurans haram dan beliau adalah benar dalam perkara ini. Sesungguhnya adalah sukar untuk mempertahankan hujjah ini walaupun secara kasar insurans menyerupai berjudi seperti mana yang disebutkan iaitu :
  •  lnsured boleh mendapat satu jumlah besar dengan membayar premium yang kecil; 
  •  lnsured akan hilang premiumnya apabila acara atau kejadian yang diinsuranskan tidak berlaku;
  •  Syarikat insurans rugi jika tuntutan melebihi premium dan membuat keuntungan sebaliknya; 
  •  Syarikat insurans itu menghitung kadar premium sama seperti bookie mengira kemungkinan;
Sebaliknya kita juga boleh berhujjah bahawa terdapat persamaan-persamaan antara insurans dan perjudian, terdapat juga perbezaan. Perbezaan ini telah dikenal pasti dalam industri insurans konvensional dan undang-undang telah digubal untuk memastikan insurans tidak termasuk dibawah perjudian. Perbezaan antara perjudian dan insurans boleh diringkaskan seperti berikut :
  • Motivasi untuk insurans dan perjudian adalah berbeza; 
  • Kakijudi itu memasuki suatu risiko tetapi insured memindahkan risiko; 
  • Kakijudi mendapat untung tetapi insured mendapat pampasan; 
  • Wang judi dibayar kepada penjudi-penjudi yang bernasib baik tetapi hanya ganti rugi dibayar kepada insured yang tidak bernasib baik; 
  •  lnsured mesti mempunyai Kepentingan Boleh lnsurans tetapi ini tidak perlu bagi perjudian; 
  • Kakijudi ketagih tetapi insured tidak ketagih.
Dengan perbezaan seperti di atas, hujah yang menyatakan insurans mempunyai unsur judi tidak dapat dipertahankan. Seperti yang telah diterangkan di atas, isu perjudian ini telah selesaikan oleh mahkamah-mahkamah yang berkaitan dengan insurans dimana mana perbezaan antara insurans dan berjudi telah dipetik.

Satu lagi unsur yang dikatakan menyebabkan insurans itu haram adalah riba. Menurut ulama, riba berlaku apabila terdapat perjanjian memberikan lebihan keatas hutang atau pertukaran bahan ribawi atau yang serupa dengannya. Didalam hadith, bahan ribawi yang disebut adalah enam iaitu, emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar dan garam dengan garam. Sebagai contoh, Rasulullah saw bersabda, "Jualan gandum untuk gandum adalah Riba kecuali jika ia diberi daripada tangan dengan tangan dan persamaan dalam amaun. Begitu juga dengan jualan barli untuk barli, adalah Riba kecuali jika ia adalah daripada tangan dengan tangan dan persamaan dalam amaun, dan jualan tamar dengan tamar adalah riba kecuali jika ia adalah daripada tangan dengan tangan dan persamaan dalam amaun." Namun demikian tidak terdapat riba didalam insurans bertempoh dan insurans berkait pelaburan. lni adalah kerana di dalam kontrak insurans bertempoh, tidak terdapat perbezaan pertukaran kerana premium yang dibayar boleh
dianggap sebagai tabarru'atau bayaran jaminan seperti yang dibenarkan oleh sesetengah ulama. Jika insurans bertempoh haram kerana bayaran premium dan syarikat mendapat untung di atas risiko jaminan, maka hujjah yang sama boleh digunakan terhadap kontrak jaminan lain yang mengisyaratkan bayaran dimana ianya juga adalah haram kerana terdapat persamaan yang ketara di antara keduanya. Sehubungan dengan ini, surat jaminan (letter of credit) yang dikeluarkan oleh bank-bank lslam yang mengenakan bayaran komisyen juga
adalah haram kecuali bayaran tersebut bukan sebagai ganjaran jaminan seperti yang di utarakan oleh para fuqaha mu'tabar seperti Sheikh Wahbah Zuhaili. Disini beliau konsisten dengan pendapatnya; insurans (bertempoh) haram, begitu juga jaminan dengan bayaran keatas risiko. Tetapi apa yang membingungkan kita ialah mengapakah insurans bertempoh haram, tetapi surat jaminan tidak haram? Kita juga mempersoalkan yang sebaliknya; mengapakah surat jaminan seperti yang keluarkan oleh bank-bank lslam di Malaysia tidak
haram tetapi insurans bertempoh haram?Apakah terdapat perbezaan yang ketara di antara keduanya? Perbezaan antara keduanya sangat sedikit dan perbezaan tersebut tidak cukup untuk meletakkan kedua-duanya dalam kategori yang berbeza samada dengan menggunakan nas atau akal. Kesimpulannya ialah samada kedua-duanya halal atau kedua-duanya haram.

Dibawah insurans berkait pelaburan pula, kontrak yang dimeterai adalah mengikut kehendak pelanggan. Perlu dijelaskan disini bahawa semasa fatwa dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, insurans berkait pelaburan belum wujud kerana insurans berkait pelaburan yang pertama di Malaysia hanya wujud pada tahun 1997.

Sekarang ini pelanggan boleh memilih bagaimana wang premium yang dialokasikan dilaburkan. Sehubungan dengan ini pelanggan boleh memilih pelaburan yang sesuai syariah seperti pelaburan didalam sekuriti pendapatan tetap seperti sukuk murabaha atau pelaburan didalam ekuiti seperti saham sesuai syariah yang di Bursa Kuala Lumpur yang mana pelaburannya tidak melibatkan riba atau perkara-perkara yang haram. Bahagian perlindungan pula ialah insurans bertempoh atau yang serupa dengannya dimana diterangkan dengan jelas dalam kontrak insurans. Malah, tidak terdapat banyak perbezaan di antara insurans berkait pelaburan dan takaful kecuali lebihan yang diagihkan kepada peserta. Sebenarnya, secara praktisnya ini tidak berlaku dan terdapat beberapa syarikat takaful yang tidak mengagihkan lebihan takaful tersebut. Ini bererti tiada bezanya di antara produk syarikat-syarikat takaful ini dengan insurans konvensional. Malah, dalam insurans konvensional, undang-undang mensyaratkan sekurang-kurangnya 80% lebihan insurans diagihkan kepada pemilik polisi dan syarikat hanya boleh mengambil 20% sedangkan sesetangah syarikat insurans mengambil 80% dan hanya mengagihkan 20%, walaupun dalam sesetengah kes terdapat perbezaan
didalam kiraan lebihan insurans dengan lebihan takaful.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada hujjah-hujjah yang dikemukakan, tidak terdapat ijma' (kesepakatan) dikalangan ahli fiqh (ulama) tentang haramnya insurans. Walaupun ada pandangan yang menyatakan bahawa insurans itu haram, pendapat yang menyatakan bahawa insurans itu adalah harus juga mempunyai hujjah yang kuat, terutama mengenai insurans bertempoh dan insurans berkait pelaburan. Sehubungan dengan ini wakil-wakil insurans dan takaful perlu Iebih professional apabila menasihati pelanggan mereka. Memandangkan bahawa pandangan saya ini mungkin berlawanan dengan pandangan beberapa penasihat syariah perbankan lslam dan
syarikat-syarikat takaful, saya mengalu-alukan jika ada pihak yang ingin mengadakan bermuzakarah agar pandangan yang benar dan tepat boleh diperolehi. Saya juga mencadangkan agar didalam muzakarah tersebut kita menjemput 1) pengurusan syarikat takaful, 2) semua penasihat syarikat takaful, 3) pegawai-pegawai JPIT, Bank Negara Malaysia, dan 4) perunding bebas insurans dan takaful seperti pakar aktuari dan sebagainya. Saya berharap dengan muzakarah tersebut, pakar-pakar syariah akan dapat mengetahui selok belok operasi insurans konvensyenal dan implikasi penyerahannya kepada masyarakat dan negara
dan seterusnya membuat kesimpulan yang sewajarnya.

Wassalam.


Penceramah

Azman Bin lsmail telah terlibat didalam industri insurans dan takaful sejaktahun 1985. Beliau telah memberikan perkhidmatan perundingan dan latihan dalam bidang insurans, takaful dan perancangan kewangan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Singapura, Brunei, lndonesia, Qatar dan Arab Saudi. Beliau telah membentangkan kertas kerja diperingkat antarabangsa di Kuala Lumpur, Singapura, Bandar Seri Begawan,
Jakarta, Manama, NewYork, Tokyo, Kaherah dan London.

Beliau pernah mengajar di Universiti lslam Antarabangsa, PNB lnstitute, KDU Management Development Center dan lnstitute of Management Studies.

Beliau juga merupakan Ahli Panel Penerangan Amanah Raya Berhad dan telah menulis 3 buah buku. Buku terakhir beliau bertajuk "Perancangan Perwarisan Dalam lslam" yang diterbitkan oleh Amanah Raya Berhad.

No comments:

Post a Comment